21 May 2009

bekas peserta PLKN akan dikumpul semula

KULIM 17 Mei - Semua 417,000 peserta yang telah menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ia diperkenalkan kira-kira lima tahun lalu akan dikumpulkan semula melalui program khas selepas Jun ini.


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan susulan tersebut diambil bagi membolehkan kerajaan melihat sejauh mana keberkesanan pencapaian objektif PLKN.


Selain itu, katanya, pengumpulan semula bekas peserta program perlu dibuat bagi membolehkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menilai keberkesanan kos RM3.2 bilion yang dibelanjakan kerajaan untuk melatih para remaja terbabit.


"Tindakan susulan dengan mengumpul semula peserta ini cukup penting. Ini kerana ia bukan saja bagi memantau mereka yang sudah berada di alam kerjaya tetapi kita juga mahu dapatkan maklum balas untuk tujuan penambahbaikan bagi program seterusnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem PLKN Bukit Besar dekat sini hari ini.


Hadir sama pada lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil; Ketua UMNO
Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir dan Komandan Kem PLKN Bukit Besar, Mejar Azhar Awang.


Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga menimbang untuk mewujudkan satu identiti khas kepada bekas pelatih terbabit bagi meningkatkan lagi imej positif masyarakat terhadap PLKN.
"Saya mahu melihat identiti yang harus ada pada diri mereka. Identiti ini bukanlah semata-mata personaliti tetapi kita perlu ada simbol tertentu bagi menggambarkan bahawa mereka adalah graduan PLKN," katanya.


Beliau memberitahu, bagi tujuan tersebut, pihak Lembaga Penasihat Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan dengan JLKN mewujudkan simbol khas PLKN dalam tempoh terdekat.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menubuhkan jawatan kuasa pemantau dan penasihat khas di kesemua 222 kawasan Parlimen dalam usaha memantapkan sistem latihan Khidmat Negara.


Katanya, jawatan kuasa itu terdiri daripada pemimpin masyarakat daripada pelbagai kaum yang boleh mendapatkan maklum balas ibu bapa serta para remaja.


"Penubuhan jawatan kuasa ini adalah sebagai usaha untuk membantu JLKN dalam merangka sistem latihan yang bersesuaian pada masa akan datang," ujarnya.


Ahmad Zahid menjelaskan, kerajaan juga akan melakukan penambahbaikan melibatkan pengubahsuaian kandungan dan penyampaian modul latihan PLKN memandangkan ia telah berlangsung kira-kira lima tahun.


"Kita akan semak semula modul latihan. Yang mana baik kita akan kekalkan sementara yang kurang sesuai, kita perlu ubah bagi memantapkan lagi program ini," katanya.


PLKN mula diperkenalkan pada tahun 2004 selepas Kabinet dalam mesyuaratnya pada 30 Oktober 2002 telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Mengenai Khidmat Negara.
Di bawah program berkenaan, para remaja terpilih yang berusia 18 tahun atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu menjalani latihan selama 80 hari secara berasrama bagi memantapkan jati diri dan semangat patriotisme.

3 Komen Pembaca:

Anonymous said...

agree wit this statement...
leh jumpa kawan2..
huhu...

Anonymous said...

Alhmdulillah..stuju sgt2...tp,klu yg da blajar jauh2 2 mcmna?hehehe

Stone_cooL said...

kalau yang belajar kat luar negara tu..mungkin tak dapat la..kalau setakat dalam malaysia..ada usaha kot untuk dikumpulkan..

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Ziel | Penulis Blog Warna warni De' PLKN - Stonecool | Pelangi Kehidupan